Suatu hari, Rasulullah S.A.W. memberitahu Fatimah bahawa dia bukanlah wanita pertama yang masuk ke syurga. Fatimah sangat sedih dengan perkhabaran itu dan cemburu kepada wanita tersebut. Fatimah tertanya-tanya, apakah amalan wanita tersebut sehingga beliau layak menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga?
Fatimah lantas bertanya kepada ayahandanya. Rasulullah tidak menjawab, sebaliknya berkata : "Pergilah anakku ke rumah wanita tersebut." Fatimah pun bersiap untuk pergi ke rumah wanita tersebut. Pada kali pertama kedatangannya ke rumah wanita yang bernama Muti'ah, Fatimah tidak dibenarkan masuk kerana tidak mendapat keizinan suaminya. Maka Fatimah pulang kembali dan datang semula pada keesokan harinya.
Pada hari kedua, Fatimah datang bersama al-Hasan dan al-Husain pula. Sekali lagi Muti'ah tidak membenarkan Fatimah masuk ke dalam rumah kerana Muti'ah meminta izin hanya untuk Fatimah sahaja, tidak untuk anak-anaknya.
Maka, sekali lagi Fatimah pulang dengan perasaan hampa kerana belum lagi dapat menyelidik keistimewaan atau amalan wanita tersebut.
Pada hari ketiga, barulah Fatimah diizinkan masuk ke dalam oleh Muti'ah. Mereka pun berbual-bual di samping Fatimah memerhatikan kepada wanita yang istimewa itu. Namun, pada firasat Fatimah, dalam pertemuannya itu tidak ada apa-apa yang istimewa tentang wanita itu, sehingga dia layak menjadi wanita pertama yang masuk syurga.
Ketika sedang berbual-bual itu, tiba-tiba Muti'ah bangkit dari tempat duduknya dan segera bersiap diri. Fatimah kehairanan. Rupa-rupanya Muti'ah bersiap-siap untuk menyambut kepulangan suaminya.
Muti'ah menyambut kepulangan suaminya dengan menyediakan tiga perkara iaitu segelas air untuk menghilangkan dahaga suaminya, sedikit makanan bagi menghilangkan lapar dan sebatang tongkat untuk digunakan oleh suaminya bagi menghukumnya jika dia bersalah sepanjang pemergian suaminya, serta memakai pakaian yang cantik untuk tatapan suaminya.
Fatimah pulang dengan perasaan penuh kagum dan terharu dengan layanan istimewa yang diberikan oleh Muti'ah kepada suaminya. Fatimah terus mendapatkan Rasulullah S.A.W. untuk menceritakan apa yang dialaminya di rumah wanita itu. Dengan penuh rasa rendah diri beliau mengakui bahawa Muti'ah sememangnya layak menjadi wanita pertama yang masuk ke dalam syurga kerana ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada suaminya.
Rasulullah S.A.W. memujuk Fatimah dengan mengkhabarkan Muti'ah ialah wanita yang akan menjadi penarik kudanya di syurga nanti.
"Maka sebab itu dia akan masuk dahulu, namun hakikatnya engkaulah Fatimah wanita pertama yang masuk ke syurga," Rasulullah S.A.W. memujuk sambil memandang Fatimah dengan penuh kasih.
# iman_mujahidah (N.A.B.I.H.A.H)
# pid 13018
# iman_mujahidah (N.A.B.I.H.A.H)
# pid 13018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan