Khamis, 13 Ogos 2015

Ambil Manfaat Rezeki Dengan Amalan


Syeikh Ilyaas Kandhalawi rah pernah berkata bahawa"Jika seseorang tidak mendapat 
rezeki dari jalan yang tidak di sangka-sangka,maka ketaqwaannya boleh di ragui".
(Di petik daripada Buku Mutiara kata-kata Syeikh Ilyaas).

Mungkin ramai tidak menyangka bahawa dengan istighfar dan taubat mampu menjadi
 asbab terbukanya pintu-pintu rezeki.Oleh kerana itu,marilah berlumba-lumba dan 
bersegeralah kepada pintu taubat Allah Swt.Allah Swt telah berfirman:

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu...” (Surah Ali ‘Imran, 3: 133)

Dalam al-Qur’an terdapat banyak petunjuk yang menunjukkan bahawa rezeki Allah 
diturunkan kepada orang-orang yang sentiasa beristighfar, bertaubat dan kembali 
kepada Allah. Di antara petunjuk yang dimaksudkan tersebut adalah sebagaimana berikut.
Nuh ‘alaihis Salam pernah berkata kepada kaumnya sebagaimana dikatakan oleh Allah 
dalam al-Qur’an:

“Maka aku katakan kepada mereka, “Beristighfarlah kepada Rab-mu, sesungguhnya 
Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu 
dengan lebat dan melengkapkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu 
kebun-kebun, dan mengadakan pula di dalamnya sungai-sungai.” (Surah Nuh, 71: 10-12)

Imam al-Qurthubi dan Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rah menyebutkan sebuah atsar 
dari al-Hasan al-Bashri rah:

“Bahawasanya seorang lelaki mengadu kepadanya tentang musim kemarau yang
 sedang terjadi. Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristighfarlah 
(mohon ampunlah) kepada Allah.”

Kemudian datang pula orang lain mengadu kepada beliau tentang kefaqirannya. 
Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristighfarlah kepada Allah.”Kemudian 
datang lagi yang lain pula mengadu kepada beliau tentang kekeringan tanamannya. 
Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristigfarlah kepada Allah.”





Kemudian datang lagi yang lain mengadu kepada beliau kerana masih tidak memiliki 
anak. Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristighfarlah kepada Allah.” 
Kemudian al-Hasan al-Bashri pun membacakan surah ini (Surah Nuh, 71: 11-12) kepada 
mereka.” (Tafsir al-Qurthubi, 18/302-303. Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 11/98)

Dalam ayat yang lain juga, Allah Swt berfirman:

“(Hud berkata): “Wahai kaumku, beristighfarlah kepada Rabb-mu kemudian bertaubatlah 
kepada-Nya, nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat ke atas kamu dan Dia 
akan menambahkan kekuatan pada kekuatanmu dan janganlah kamu berpaling 
dengan melakukan dosa.” (Surah Huud, 11: 52)

Disebutkan dalam suatu hadis:

“Sesiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah menjadikan untuknya dari setiap kesedihan
 ada kegembiraan, bagi setiap kesempitan ada jalan keluar, dan memberinya rezeki 
yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud. Dinilai sahih sanadnya 
oleh Ahmad Syakir, tetapi dinilai dhaif oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth).”

Oleh itu, perbanyakkanlah istighfar dan taubat. Istighfar dan taubat memiliki keutamaan 
yang sangat besar bukan sekadar apa yang disebutkan di atas. Malah Allah 
Subhanahu wa Ta’ala sendiri yang memerintahkan kepada kita agar sentiasa 
beristighfar dan bertaubat kepada-Nya.

Hamba Allah yang daif,
PID 13260


Tiada ulasan:

Catat Ulasan