PASRAH SELEPAS BERUSAHA
Ingat, solat istikharah juga adalah doa dan bukan pelaksanaan solat semata-mata. Seseorang yang berdoa mesti menghadirkan hati yang penuh yakin dan bersangka baik bahawa doanya akan dimakbulkan. Yakinlah, dengan mendirikan solat istikharah, Allah akan memakbulkan doa kita yakni dengan mendorong hati serta melapangkan dada kita untuk memilih yang terbaik.
Daripada Abdullah bin Amru bin al-'As, Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya : "Sesungguhnya pada hati manusia ada kesedaran, sesetengahnya merupakan kesedaran bagi sesetengah yang lain. Apabila kamu memohon sesuatu daripada Allah, pohonlah kepada-Nya dengan yakin bahawa Allah akn memakbulkannya. Sesungguhnya, Allah tidak akan memakbulkan doa seorang hamba yang hatinya dalam keadaan lalai (tidak sedar dan yakin dengan pemberian Allah)." (Riwayat Ahmad)
Sekiranya ternyata pilihan yang dibuat setelah solat istikharah itu baik, bersyukurlah kepada Allah kerana dengan bantuan-Nya, semua itu berlaku buat diri kita. Jangan merasakan semua itu hasil usaha istikharah kita, tetapi percayalah semuanyan kehendak Allah jua. Namun, seandainya yang berlaku adalah sebaliknya, terimalah ia sebagai satu ujian daripada Allah yang pasti ada hikmahnya. Mungkin buat sementara waktu ia dirasakan pahit, tetapi pada masa hadapan ternyata ia adalah ubat yang menyembuhkan.
Jangan ada penyesalan dan kekesalan setelah menerima impak daripada pilihan yang diperoleh setelah solat istikharah. Jika ada masalah atau cabaran yang menimpa, jangan berpatah balik kerana kita sudah berada di jalan yang benar. Apabila timbul masalah dalam urusan jodoh, kerja, jawatan atau apa-apa sahaja yang kita pilih setelah bermesyuarat dan beristikhrah, jangan sekali-kali menyalahkan diri sendiri apatah lagi "menyalahkan" Tuhan.
Sebaliknya, terima ia sebagai suatu musibah yang penuh dengan didikan dan hikmah daripada-Nya. kita inginkan kesenangan, tetapi Allah anugerahkan kesabaran. kita inginkan keindahan, tetapi Allah kurniakan kebenaran. Bukankah kesabaran dan kebenaran itu lebih berharga daripada keindahan dan kesenangan?
Pasrahlah dengan istikhrah, rasakan bahawa perkara yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali pasti akan berlaku dan tidak dapat dielakkan lagi. Ya, ia ditetapkan berdasarkan pengetahuan Allah Yang Maha Hebat dan Bijaksana. Kuasa mutlak Allah dalam menentukan segala sesuatu tidak akan dapat dicabar. Sesungguhnya, istikharah itu tetap berada di bawah takluk aqidah dan takdir Allah. Sesuatu yang ditakdirkan berlaku, pasti berlaku. Tutuplah pintu tipuan syaitan yang sering membisikan kata-kata "seandainya" atau "kalau."
Peganglah erat-erat bahawa tidak akan rugi orang yang beristikharah dan tidak akan menyesal orang yang bermesyuarat. Mustahil bagi Allah untuk mengecewakan hamba-Nya yang menyerahkan segala urusan hidup kepada-Nya. Jangan ragui lagi kasih sayang Allah yang melimpah, pasrahlah dengan istikharah !
# iman_mujahidah (N.A.B.I.H.A.H)
# pid 13018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan