Ikhtilat, bukan sekadar kata.
Seringkali kalimah ini berlegar di telinga.
Ikhtilat oh ikhtilat, apakah dikau?
***
Ikhtilat ( الإختلاط) membawa
maksud bercampur. Sudah sinonim dalam masyarakat kita, istilah ini
merujuk kepada percampuran atau pergaulan antara lelaki dengan perempuan
atau sebaliknya. Dalam kebanyakan kitab ulamak, istilah ini digunakan
bagi menyatakan hal pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang
bukan mahram di suatu tempat yang membolehkan mereka berhubung antara
satu sama lain dengan pandangan atau isyarat atau percakapan.
Dipendekkan cerita, ikhtilat merujuk kepada pergaulan bebas.
***
Bila ditanya pada setiap individu, adakah
anda menyokong pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan? Pasti,
rata-ratanya berkata; “Oh tidak, pergaulan bebas tidak dibenarkan dalam
Islam. Kita mesti menjaga ikhtilat!“
Hmm. Sejauh manakah kita menjaga ikhtilat?
***
Refleks diri sejenak. Muhasabah.
Kita yang menentukan jalan. Kita yang
memilih. Di hadapan kita ada banyak jalan. Ada yang mengikut jalan
Islam, ada yang jelas bertentangan dengan Islam dan ada juga jalan yang
bahaya, yakni jalan yang kabur, diwarnai dan dicorakkan dengan hiasan
Islamik namun ralat pada alat dan matlamat.
***
Menjaga ikhtilat bukanlah tugas pada satu
pihak sahaja. Tugas ini sebenarnya mesti digalas baik di pihak lelaki
mahupun perempuan. Kata seorang sahabat, dalam menjaga ikhtilat, andai lelaki sudah menjaga, wanita pula perlu berjaga-jaga.
Kata Ustazah Fatimah Syarha dalam bukunya Cintaku Selepas Allah dan Rasul,
pintu yang membuka kepada pergaulan ini perlu ditutup serapat-rapatnya,
walaupun atas nama persatuan Islam. Mengamati kata-kata ini, baik dari
sekecil-kecil organisasi termasuklah organisasi kelas, jiran tetangga,
bahkan jawatankuasa mesyuarat tingkap; hatta sebesar-besar institusi
atau persatuan sekalipun, andai tiada perkara mustahak, adalah lebih
baik untuk kita menjaga dan berjaga-jaga.
***
Habis tu, tak boleh nak cakap langsung lah dengan dorang?
Hm. Camni. Islam tidak menghalang
muamalah antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Cumanya,
Islam menghadkan muamalah tersebut, supaya tidak terjerumus ke kancah
yang lebih dahsyat, yakni zina.
“Dan janganlah kamu mendekati zina;
sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan
yang buruk.” (al-Israa’ : 32)
Tidaklah
disebut dengan terperinci di dalam al-Quran bahawa zina itu hanyalah
melibatkan kemaluan semata-mata. Dalam ayat tersebut, telah dinyatakan satu larangan yang jelas
bahawa janganlah kita mendekati zina. Zina boleh bermula dari apa jua
cara, baik dari mata (melihat wanita / lelaki ajnabi tanpa hak), telinga
dan lidah (berbicara mengenai perkara yang tidak sepatutnya), hidung
(memakai bau-bauan yang berlebihan) dan sebagainya.
Andai mendekati zina sudah jelas ditegah, apatah lagi melakukannya?
***
Alternatif.
Andai sebelum ini kita sering meluahkan
rasa resah dan ‘bertanyakan khabar’ kepada perempuan / lelaki yang
ajnabi, apa kata kita halakan rasa sayang tersebut kepada yang lebih
berhak, misalnya kepada ibu bapa atau sahabat seperjuangan (sejantina) yang sudah lama kita tak bersua.
Tidaklah salah untuk menyatakan rasa
sayang kepada sahabat lama, bertanyakan kesihatan mereka, keselamatan
dan macam-macam hal lagi. Bahkan, hubungan kasih sayang antara lelaki
dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan kerana Allah adalah antara
perkara yang paling dibenci oleh syaitan.
Jadi yang demikian, adakah kita masih selesa bergaul mesra, andai diri terpalit dosa?
***
Menjaga ikhtilat seumpama menjaga hati. Jagalah hati untuk yang berhak. Sekiranya mahu yang terbaik, jadilah juga yang terbaik.
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang
jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat dan lelaki-lelaki yang jahat
untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya)
perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan
lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka
(yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh
orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh
pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (An-Nur: 26)
#bidadari_abah
#PID13138
Tiada ulasan:
Catat Ulasan