Rabu, 26 Ogos 2015

Memilih Cinta Allah

MEMILIH CINTA ALLAH



Dengan memilih untuk mencintai Allah, para sahabat telah memiliki segala-galanya. kata bijak pandai : "If Allah is all you have, you have all you need," maksudnya jika kita telah memiliki cinta kepada Allah, kita telah memiliki segala-galanya. Namun, sekiranya kita tersalah membuat pilihan, yakni memilih cinta kepada manusia berbanding cinta kepada Allah, maka kita akan hilang segala-galanya termasuk cinta yang kita kejar itu.

Justeru kerana pilihan itu, para sahabat mengamalkan prinsip hidup yang meletakkan dunia di tangan, akhirat di hati. Mereka memilih untuk hidup bahagia dan berjaya di akhirat serta sanggup bersusah payah berjuang dan berkorban di dunia ini, kerana yakin dengan firman Allah S.W.T. yang bermaksud : "Dan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal."  (Surah al-A'la 87:17)

Bagi mereka, dunia hanyalah seperti apa yang Allah S.W.T. tegaskan melalui firman-Nya yang bermaksud : "katakanlah (wahai Muhammad) : 'Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini sedikit sahaja (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang yang bertakwa dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun." (Surah al-Nisa' 4:77)

Memilih kehidupan akhirat, bukan bererti meminggirkan kehidupan dunia, tetapi dengan menjadikan kehidupan dunia sebagai "modal" untuk mendapat keuntungan akhirat. Generasi para sahabat teruja dengan firman Allah ini, mafhumnya : "Wahai orang yang beriman, sukakah kalau aku tunjukkan perniagaan yang akan menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?" (Surah al-Saff 61:10)

Untuk itu, para sahabat Rasulullah memilih untuk berkorban dan bersusah payah, bahkan menggadaikan nyawa demi menegakkan islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Mereka rela dan tega menanggung apa juga risiko kerana pilihan mereka itu. Justeru, meraka mengamalkan sikap "pay now, play later" iaitu dengan membayar dahulu di dunia dengan segala pengorbanan agar dapat beristirahat penuh nikmat di dalam syurga nanti.

Semangat jihad yang sama dibawa oleh Panglima Tariq bin Ziyad ketika mengetuai 7000 tenteranya menyebarangi benua Eropah. Apabila mendarat sahaja di pantai Andalusia (Sepanyol), Tariq mengumpulkan pasukannya di sebuah bukit yang kemudiannya dikenali sebagai Jabal Tariq atau Gibraltar kini. Lalu beliau memerintahkan pasukannya agar membakar semua armada kapal yang dimiliki oleh meraka. Tenteranya terkejut lalu bertanya : "Apa makdus tuan dengan tindakan ini?"

Dengan tegas, Tariq berkata : "kita datang ke sini bukan untuk kembali. kita hanya memiliki dua pilihan iaitu sama ada membebaskan negeri ini lalu tinggal di sini atau kita semua mati!" Lalu Tariq melanjutkan pidatonya : "Wahai seluruh pasukan, jika sudah begini, ke mana lagi kita akan lari? Di belakang kita laut dan di depan kita musuh."

# iman_mujahidah (N.A.B.I.H.A.H)
# pid 13018 

Selasa, 25 Ogos 2015

Tip Amalan Harian : 15 Sunnah Rasulullah SAW

Tip Amalan Harian : 15 Sunnah Rasulullah SAW


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

  .
Berikut merupakan antara amalan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad Shalallahu ‘alaihi wasalam dan ia menjadi sunnah  buat umatnya yang dikasihi. Amalan ini mampu menjadikan seseorang itu mencintai baginda dan boleh membawa seseorang itu cenderung ke arah  ‘soleh wa musleh’.
.
1.     Senyuman
Abdullah bin Al-Harist Radliyallahu’anhu menuturkan, yang artinya, “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam.”(Riwayat At-Tirmidzi)
.
2.     Dahulukan Kanan
Daripada Aisyah, katanya: “Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam lebih suka mendahulukan yang kanan dalam segala hal (perbuatan) seperti memakai terompah, bersikat, berwuduk dan mandi.” (Hadis riwayat Muslim)
.
3.     Berpakaian
Ummu Salamah meriwayatkan: “Pakaian yang paling disukai oleh Baginda Shalallahu ‘alaihi wasalam ialah pakaian Qamis).” (Riwayat Tarmizi dan Abu Daud)
.
4.     Bercelak
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam bersabda: “Hendaklah kamu bercelak dengan menggunakan batu celak (Al-Itsmid) kerana celak dapat memperjelaskan penglihatan dan menumbuhkan bulu (mata).” (Riwayat Tarmizi dan Abu Daud)
.
5.     Memakai Cincin
Ali bin Abi Talib meriwayatkan: “Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam memakai cincin di jari tangan kanan Baginda.” (Riwayat Tarmizi, Abu Daud, Nasa’i dan Ibnu Hibban.)
.
6.     Makan
Ka’ab bin Malik r.a. meriwayatkan: “Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam makan menggunakan ketiga jari Baginda. Selepas makan  Baginda menjilati ketiga-tiganya.” (Riwayat Tarmizi, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
.
7.     Minum
Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan: “Ketika Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam minum, Baginda menarik nafas (menghela) dua kali.” (Riwayat Tarmizi dan Abu Syaikh)
.
8.     Bersilaturrahim
Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu tentang sesuatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan ataupun keburukan? Sesuatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan, adalah balasan (pahala) orang yang berbuat kebaikan dan menghubungkan tali silaturahmi, sedangkan yang paling cepat mendatangkan keburukan ialah balasan bagi orang yang berbuat jahat dan yang memutuskan persaudaraan.”   (Riwayat Ibnu Majah).
.
9.     Berjalan
Ali bin Abi Talib meriwayatkan: “Apabila Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam berjalan, tubuh Baginda tegak seperti sedang menuruni tanah yang landai.” (Riwayat Tarmizi dan Hakim)
.
10.  Berkata
Anas Ibnu Malik r.a. meriwayatkan: “Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam mengulangi  perkataan Baginda tiga kali supaya lebih difahami (oleh pendengarnya).” (Riwayat Tarmizi dan Hakim)
.
11.  Tertawa
Abdullah bin Harith r.a. meriwayatkan: “Tawa Nabi Muhammad  Shalallahu ‘alaihi wasalamhanyalah senyuman.” (Riwayat Tarmizi )
.
12.  Bergurau
Anas bin Malik r.a. meriwayatkan: “Betapa baiknya Nabi Shalallahu ‘alaihi wasalam menggauli kami. Baginda berkata kepada saudaraku yang masih kecil, ‘Wahai Abu Umair, apa yang sedang dilakukan oleh burung nughair?’” (Riwayat Tarmizi, Bukhari, Abu Daud, Nasa’i dan Ahmad)
.
13.  Tidur
Aisyah r.ha. meriwayatkan: “Setiap kali hendak tidur pada malam hari, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam selalu menadahkan  kedua tapak tangan sambil membaca Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas kemudian Baginda meniup kedua-dua tapak tangan tersebut. Setelah itu, Baginda menyapu bahagian tubuh yang terjangkau, dimulai dari kepala, wajah lalu bahagian depan tubuh Baginda. Hal itu Baginda lakukan sebanyak tiga kali.” (Riwayat Tarmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)
.
14.  Membaca al-Quran
Ya’la bin Mamlak bertanya kepada Ummu Salamah tentang cara Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam membaca al-Quran. Menurut Ummu Salamah, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalammembaca al-Quran dengan sangat jelas kalimah demi kalimah. (Riwayat Tarmizi, Bukhari, Abu Daud dan Nasa’i)
.
15.  Ibadah
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan: “Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam melaksanakan solat hingga kedua-dua kaki Baginda bengkak. Beliau bertanya, “Mengapa engkau melakukan hal ini padahal engkau mengetahui bahawa Allah SWT telah mengampuni dosamu yang telah berlalu dan akan datang?” Baginda Shalallahu ‘alaihi wasalam menjawab, ‘Tidakkah aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?’.” (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Khuzaimah)
.
.
والله أعلم بالصواب
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
.
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته





:PID13212

Cabaran Menutup Kaki

Namun saya percaya, ada wanita yang mengalami masyaqqah (kesulitan) menutup kaki sama ada dengan berstoking, memakai kasut bertutup atau dengan melabuhkan pakaian mereka sehingga menutup kaki. Apatah lagi dalam keadaan cuaca Malaysia yang terkenal sebagai negara yang menerima taburan hujan yang lebat, pasti agak menyukarkan.

Wanita harus faham di sini, konsep menutup kaki tidak hanya tercapai dengan memakai stokin sahaja. konsep pakaian labuh seperti abaya yang biasa dipakai wanita arab mempunyai maqasid menutup kaki apabila mereka memakainya labuh sehingga meleret, namun tidak sampai ke tahap berbangga-bangga dengan pakaian labuh. 

Memakai kasut tertutup pada waktu hujan tanpa perlu memakai stoking juga boleh diterima dari segi praktis, asalkan tujuan asal menutup aurat mampu dicapai. Tiada lagi istilah stoking basah berkali-kali sehari.

Jika berada di rumah pula terutamanya kampung, kadangkala susah hendak menutup kaki dengan kehadiran ipar-duai, sepupu dan sebagainya. Dalam situasi seperti ini, mujahadahlah sedikit dengan meminimumkan kaki terdedah walaupun diberi beberapa kelonggaran jika berada di dalam rumah. Dalam konteks keluarga besar yang memahami syariat islam, pengasingan lelaki dan wanita bukan mahram boleh membantu.

Sebagai penutup, hayatilah firman Allah S.W.T. ini yang bermaksud : "Hai anak adam, sesungguhnya kami telah menurunkan auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat." (Surah al-A'raf 7:26) 

Takwalah yang memotivasikan wanita sama ada patuh atau angkuh dengan suruhan Allah S.W.T ini. Tepuk dada, tanya iman. Jika iman masih malap, terangkan hati dengan ilmu dan amal.

# hamba_Allah
# pid 13178

Teknologi Dalam Berdakwah

Memang tidak dapat dinafikan, adanya kesan teknologi atas manusia. Persoalan pokoknya kembali kepada bagaimana kita berusaha untuk menangani keadaan. Manusia meletakkan usaha, Allah S.W.T. menentukan kesudahan akhirnya. Menjadi "mangsa" dan akhirnya menyalahkan takdir atas apa yang berlaku. Sedangkan kesudahan akhir itu berada di luar jangkauan pengetahuan manusia, dan manusia dituntut untuk berusaha sebelum berserah dan bertawakal.

Dengan meletakkan usaha untuk mengawal keadaan, sama ada apabila membangunkan teknologi atau ketika menggunakannya, kita dapat membentuk satu interaksi manusia dengan teknologi yang lebih islami dan sesuai dengan kedudukan manusia sebagai khalifah Allah S.W.T. seharusnya, teknologi menjadi "alat" yang kita gunakan untuk berusaha menyebar luaskan natijah-natijah yang baik dalam diri kita dan masyarakat manusia seluruhnya. 

Sebagai pengakhiran, sama-samalah kita renungi ayat 179 daripada surah al-A'raf yang bermaksud : " Dan sesungguhnya kami jadikan unutk (isi) neraka jahanam kebanyakannya daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengan-Nya, dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengan-Nya. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang yang lalai." 

Iktibar dan refleksi daripada ayat tersebut adalah melalui persoalan ini : "Adakah kita mahu menjadi seperti golongan yang disebutkan dalam ayat tersebut?" 

Apabila kita tidak dapat menangani dan memahami persekitaran yang berlaku, lantas membiarkan diri kita menjadi seperti haiwan ternakan yang dicucuk hidungnya, lalu diheret dan dihanyutkan oleh teknologi dengan cara tidak terkawal. Sedangkan kita berada di kedudukan yang mampu untuk melakukan sesuatu. Sudah tentu kita tidak mahu berada dalam keadaan di mana teknologi boleh menjerumuskan kita ke lembah yang buruk gara-gara kegagalan kita menguasainya. Sama-samalah kita renungkan dan bertindak dengan sewajarnya. 

# hamba_Allah
# pid 13178

Iman vs Ukhwah


Dalam kamus hidup orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak ada istilah pahala atau dosa, neraka ataupun syurga. Hidupnya akan didominasi sepenuhnya oleh sifat materialisme, hedominasi dan individualistik. Dia hanya memberi jika mendapat balasan yang lebih baik dan banyak. Apabila manusia hanya fokus untuk menerima semata-mata, pecahlah ukhwah, terungkailah persaudaraan.

Oleh sebab itulah iman dan persaudaraan saling berkait rapat. Iman dan persaudaraan kerap digandingkan dalam al-Quran dan hadis. Firman Allah S.W.T yang bermaksud : " Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara." (Surah al-Hujurat, 49:10).

Rasulullah S.A.W pula bersabda, maksudnya : "Tidak saudaranya sepertimana dia mencintai untuk dirinya sendiri (daripada kebaikan)." ( Riwayat al-Bukhari). Dalam pertalian antara iman (percaya kepada Allah), persaudaraan sesama Muslim dan kurniaan syurga itu sangat berkait rapat. Perhatikan maksud hadis ini : "Demi zat yang diriku berada dalam kekuasaan-Nya, tidak akan masuk syurga selagi kamu tidak beriman, tidak akan beriman selagi kamu tidak saling mencintai."

Apabila kamu ingin aku khabarkan mengenai amalan yang apabila dilakukan pasti membuatkan kamu saling mencintai ? 

Sahabat menjawab teruja : "Sudah tentu, wahai Rasulullah."  Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud : " Sebarkanlah salam sesama kalian." (Riwayat Muslim)

Orang yang layak masuk syurga pada umumnya ialah orang yang kuat imanya, kukuh persaudaraannya dan banyak amal kebaikannya kepada Allah dan manusia lain. Allah berfirman yang bermaksud : "Dan didekatkan syurga itu kepada orang yang bertakwa pada tempat yang tiada jauh (daripada mereka). Inilah yang dijanjikan kepadamu (iaitu) kepada setiap hamba yang selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturan-Nya). (iaitu) orang yang takut kepada Tuhan yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat. Masuklah syurga itu dengan aman, itulah hari kekekalan."  (Surah Qaf 50:31-34) 

# hamba_Allah 
# pid 13178

Apabila Kita Hanya Mampu Untuk Berhuhu

[Kredit]
Ada sepotong hadith yang seringkali diulang dan diulas di dalam pengisian Ini Sumpah Kool (ISK). Hadith itu berbunyi begini:

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِى الدِّينِ 

"Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan dengannya, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama."
[Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]

Kebiasannya, muwajjih (Baca: Abam osem yang menyampaikan ISK tu) akan menghuraikan dengan panjang lebar perbedaan antara 'faqqihu' dengan 'faqquhu', yakni beza antara faham dan tahu. Bagaimana jika Allah chentakan hambaNya, Dia akan berikan kefahaman di dalam agamaNya yang tinggi dan mulia.

Hari ini saya nak ajak anda untuk sekali lagi melihat dan meneliti hadith ini, tapi kali ini dari sudut pandang yang sedikit berbeza.

Ramai orang apabila menterjemahkan hadith ini, akan menterjemahkannya sebagai, "Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya..." 

Ini adalah terjemahan yang kurang tepat. Macam bila kita baling dat dan tak kena pada mata kerbau. Eh anda orang faham ke saya merepek apa ni?

Jika terjemahannya itu tepat, maka bahasa Arabnya pasti akan menggunakan kalimah 'lahu' dan bukannya 'bihi', sedangkan di dalam hadith ini, kalimah 'bihi' yang digunakan. 

Sayugia terjemahan yang lebih tepat dan sejahtera adalah 'kebaikan dengannya' dan bukannya 'baginya.' 

Nah, apakah impaknya apabila kita memahami hadith ini dengan terjemahan 'dengannya' dan bukan 'baginya'?

Sangat-sangat besar.

Sekali lagi. *buat muka seriyes* Sangat-sangat besar.

Apabila kita memahami hadith ini dengan terjemahan 'baginya', apa yang dapat kita fahami adalah apabila Allah mahukan kebaikan pada seseorang hambaNya, Dia akan menganugerahkan hambaNya itu dengan kefahaman dalam agama.

Sedangkan apabila hadith ini difahami dengan terjemahannya yang lebih tepat, yakni 'dengannya', ia membawa maksud, barangsiapa yang Allah mahukan orang lain mendapat kebaikan melalui diri seseorang, maka Allah akan berikan orang itu dengan kefahaman dalam agama.

Baiklah sekali lagi.

Maksud hadith, "Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan dengannya, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama" ialah sekiranya Allah mahukan kebaikan itu dinikmati dan dirasai oleh ramai orang melalui diri seseorang, maka Allah akan menganugerahkan diri seseorang itu dengan kefahaman dalam agama.

Nah sangat berbeda bukan?

Sebagai seorang dai'e murabbi, kita akan mendapati maksud hadith ini teramatlah signifikan sekali. Dengan kata lain yang lebih indie, hadith ini sumpah mengujakan! Wah! 

Hadith ini boleh menjadi kayu ukur kepada kita sama ada Allah telah mengurniakan kita dengan kefahaman dalam agama. Bagaimana?

Islam adalah agama rahmat untuk sekalian alam. Ehem. Ia adalah manhaj, cara hidup untuk semua dan tidak khusus untuk umat Islam semata. Hatta panda di China, ikan paus di lautan Pasifik, pokok kaktus di padang pasir Mexico dan obor-obor di laut Merah turut mendapat manfaat daripada Islam.

Seorang dai'e ialah duta kepada Islam. Sekiranya bukan dai'e yang mahu menterjemahkan keindahan Islam itu menjadi suatu cara hidup yang praktikal, siapa lagi?

Nah, sekiranya kita faham apa yang dituntut oleh Islam, apa yang Islam perjuangkan dan apa mesej yang hendak disampaikan oleh Islam, sudah tentu kita sendiri akan menjadi rahmat untuk sekalian alam. Setiap kata-kata kita, gerak-geri kita, perbuatan kita, pertuturan kita, muamalah kita, akan sentiasa bermanfaat dan menjadi kebaikan untuk orang lain. 

Inilah yang mahu disampaikan oleh hadith di atas. Seorang manusia yang diberi kefahaman dalam agama, pasti akan bermanfaat kepada orang lain. Atau dengan kata lain, seseorang yang dianugerahkan oleh Allah kefahaman dalam agama, dia pasti akan bersungguh-sungguh menyampaikannya pula kepada orang lain di sekelilingnya.

Kerana itulah hadith ini merupakan hadith yang agung dari segi makna dan mesej yang ingin dibawanya. Ia merupakan dalil yang cukup kuat dan motivasi yang cukup hebat untuk berdakwah!

Sekejap bagi saya berfikir sebentar.

Pehhhh!!! Ini memang sesuatu yang sangat haibat!

Lantas mari kita bermuhasabah untuk melihat sama ada kita ini terpilih atau tidak untuk mendapat anugerah agung kefahaman dalam agama.

Sejak kita jatuh chenta dengan tarbiyah dan dakwah, adakah kita sudah meninggalkan kesan yang besar kepada Puan Mama dan Inche Papa kita?

Semenjak kita dengan bangganya menasabkan diri kita dengan gerakan dakwah, adakah jiran tetangga kita sudah merasa betapa nikmatnya hidup ditarbiyah seperti mana yang kita rasa? 

Sejak kita sudah tidak malu-malu lagi untuk mengaku diri kita sebagai seorang dai'e, adakah rakan-rakan baik kita yang sewaktu ketika dahulu sama-sama terjun sungai, sama-sama ponteng kelas, sama-sama tekel anak dara Mak Kiah itu sudah dibulatan gembirakan?

Semenjak kita ber'ana'-a'nta' dan dengan bersemangat melaungkan slogan-slogan jihad dan perjuangan, bagaimana dengan rakan sekerja kita di kantor itu, adakah mereka menjadi orang yang lebih baik disebabkan oleh pengaruh kita?

Dan sejak kita ditampar kuat oleh Makcik Hidayah suatu ketika dahulu, sehingga menyebabkan kita tercampak dari lembah neraka ke taman-taman sorga, adakah kita berusaha dengan segigih mungkin untuk memastikan orang di sekeliling kita ditampar sama?

Sekiranya setiap kali membaca soalan di atas dan kita hanya mampu untuk menggelengkan kepala sambil berhuhu sahaja, ketahuilah...

Kita belum lagi dikurniakan dengan kefahaman dalam agama!

Woi! Siapa yang baling bawang ni?? Tepat kena mata! Nanges laju-laju ...

-Enche Kopiah- 
`Pid 13210` 

JANGAN TURUTI NAFSU, HATI AKAN MATI. TURUTILAH KEKUATAN, HATI AKAN TERUS BERIMAN

بسم الله الرحمان الرحيم
..السلام عليكم ورحمت الله وبركاته..

SAYANG ALLAH, CINTA ALLAH, LETAKKAN HATI UNTUK ALLAH


Hati Manusia

Allah memberikan kita satu organ terpenting yang hidup di dalam tubuh kita selain daripada organ-organ lain. Apakah organ itu? Organ tersebut merupakan "hati". Hati yang menjadi raja segala kehidupan di dalam tubuh kita. Hati yang menjadi penentu samada kita akan melakukan kebaikan ataupun kejahatan. Jika kita membiarkan hati menguasai seluruh tubuh kita termasuk aset terpenting yang ada pada otak kita iaitu fikiran, kita tidak akan mengenali yang manakah duri yang manakah isi. Jangan pernah biarkan nafsu menguasai hati, Jangan pernah biarkan hati menguasai fikiran. Tajamkan iman, asahkan hati menjadi setajam bilahan pedang yang mampu membelah segala kejahatan. Agar kita mampu terus beriman dan menguatkan iman dan mencintai Allah sedalam-dalam hati kita. Kuatkan hati untuk DIA Yang Maha Berkuasa.

Setiap manusia mempunyai pelbagai keingginan. Itu adalah lumrah. Itu adalah fitrah. Tidak ada manusia yang tidak inginkan keingginan yang pelbagai dalam kehidupan. Namun, setiap keingginan itu semuanya bermula dari hati yang menjadikan otak kita berfikir. Apakah keingginan kita yang sebenar? Bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan keingginan itu? Di manakah sepatutnya kita laksanakan keingginan itu? Apakah keingginan itu hanya dilakukan demi kehendak nafsu dan perasaan semata-mata? Tidakkah hati kita inginkan sesuatu keingginan ke arah ukhrawi. Fikirkan dan renungkan sedalam-dalam hati kita. Walau lisan sentiasa menipu namun sedalam manapun hati bersembunyi, ianya tetap tidak akan mampu menipu diri sendiri. Sebab, hatilah "kebenaran" yang sebenar.

"Persahabatan kita semua adalah untuk Allah dunia dan akhirat.."

Ujian Untuk Manusia

Seringkali juga kita tertanya-tanya, mengapakah ujian yang sama sering diulang-ulang dalam kehidupan. Mengapa tidak yang lain? Mengapa kita didatangi ujian seperti itu? Atau ujian seperti ini? Sedangkan kita seharusnya selesa hidup di dunia tanpa ujian. Bergembira setiap masa dengan teman dan sahabat. Bergembira dengan ahli keluarga dengan penuh rasa bahagia. Mengapa Allah datangkan ujian yang sangat menyakitkan hati dan perasaan kita? Adakah Allah tidak menyayangi kita sebagai hamba-Nya? Allah bencikan kitakah? Sedangkan Allah tahu kita berada di pihak kebenaran atau kejahatan. Mengapa Allah datangkan juga kesakitan itu? 

Sedangkan Allah tahu kita sebagai manusia hamba yang lemah. Hamba yag tidak kuat untuk hadapi ujian. Tidak kira ujian keluarga, ujian percintaan, ujian kesakitan, ujian kehilangan, ujian persahabatan ataupun apa-apa sahaja jenis ujian yang melibatkan insan sekeliling yang banyak membuatkan hati kita bagaikan serpihan kaca yang telah pecah dan dicantumkan semula dan kembali pecah berderai bila dihentak dengan kuat. Hakikatnya itulah yang dinamakan sebagai ujian kasih sayang daripada Allah. Walaupun sakit, usahalah untuk bersabar. Walaupun puluhan juta kali air mata telah mengalir, teruskan hadapi ujian itu. Allah tidak pernah datangkan ujian sekiranya kita tidak mampu hadapi. 

Jika hidup ini tiada langsung kesakitan, masakan bila kita akan rasai kenikmatan di sebalik susah payah, perit getir kita menempuh ujian itu dengan hadiah istimewa daripada Allah. Yang sentiasa menjadi rahsia Allah terhadap setiap insan di muka bumi ini. Allah sentiasa tahu dan sememangnya tahu perjalanan kehidupan kita semua di dunia ini sejak dari dahulu, kini dan akan datang. Namun, Allah tidak mahu kita sentiasa bergembira kerana satu saat nanti kita pasti akan melupai-Nya dan hanya mencintai isi dunia. DIA sayang, sebab itu DIA uji. Jangan terlalu kecewa dengan ujian Allah sehingga menyebabkan kita melakukan sesuatu yang melanggar syarak dan melanggar hukum di dalam Islam.

"Hidupan lain di dunia ini merupakan satu pelengkap dalam kehidupan kita.."

Hargai Manusia

Jalanilah ujian itu walaupun ianya sentiasa beulang. Kerana bumi ini hanya berpusing di tempat yang sama. Oleh sebab itu juga ujian terhadap kita berpusing di arah yang sama walau berbeza situasi. Jangan lupa, jika kita kurang menghadapi ujian, sedarlah sentiasa, mereka disekeliling kita juga adalah ujian untuk kita. Jangan terlalu merasa senang dengan nikmat duniawi, kerana kelak segala amalan dan perbuatan kita akan dihisab di hari akhirat nanti. Hormati dan sayangi mereka yang berdepan dengan ujian. Kemungkinan besar mereka itu sentiasa hampir dengan Allah dan doa mereka sentiasa termakbul biarpun lambat ditunaikan. DIA tahu yang mana adil untuk hamba-Nya. 

Kerana jika kita selalu mengingatinya dan selalu berfikir, kita akan tahu sendiri bahawasanya Allah itu sememangnya Maha Adil Lagi Bijaksana. Tiada satupun yang kurang melalui penciptaan-Nya. Walaupun di pandangan zahir kita selalu inginkan kecantikan dan kenikmatan. Yang buruk dipinggirkan dan dibuang bagaikan sampah. Sedarkah kita? Tidak mustahil yang buruk lagi hodoh ciptaan itu sebenarnya ciptaan yang paling penting di sisi Allah. Kerana Allah mencipta rupa mereka di pandangan zahir manusia untuk memberi ujian kepada mereka. Ujian yang memberikan peluang luas untuk mereka menghidu bau wangi-wangian Syurga Allah. Siapakah kita untuk mengutuknya? Mencacinya? Membencinya? 

Sedangkan peluang mereka sentiasa terbuka luas di hadapan Illahi untuk menikmati nikmatnya Syurga Allah di akhirat kelak. Sedangkan diri kita yang dianggap sempurna di dunia ini belum tentu lagi akan menjadi hamba Allah yang bersyukur. Belajar untuk bersyukur sentiasa dan menghormati ciptaan Allah. Bukan "menghina" ciptaan Allah. Mereka yang penuh ujian sebenarnya adalah orang-orang yang terpilih oleh Allah untuk mencintai Allah dengan lebih mendalam. Jangan pernah menghalangi mereka, jika mereka memilih Allah daripada memilih manusia. Biarpun mereka terpaksa berdepan dengan ujian dan hidup sengsara. Kerana Allah dengar segala rintihan mereka. Bersyukurlah kita sebelum kita hampir dengan pengakhiran nyawa.

"Hargailah mereka yang bergelar sahabat kita yang pernah bersusah-payah, 
dan pernah berada di sisi kita walaupun untuk sementara.."

Cinta Itu Satu Ujian Dari Allah

Cinta. Bagi yang belajar dan mengetahui ilmu agama tidak sah dan juga tidak lari dari menghadapi rasa cinta. Cinta antara manusia. Fitrah. Satu fitrah buat manusia dan jangan pernah menghina mereka yang pernah jatuh cinta. Namun cara kita untuk mengendalikan rasa cinta itu. Samada ke arah yang lebih baik ataupun ke arah yang lebih buruk. Mengapa kita terlalu menginginkan jodoh sedangkan jodoh itu rahsia Allah dan salah satu hadiah istimewa daripada Allah untuk kita sebagai hamba-Nya. Sedangkan kita terlalu mengejar manusia yang bukan jodoh kita. Akhirnya kita disatukan dengan mereka yang mungkin tidak pernah berada di hati kita. Sabarlah. DIA tahu jodoh kita siapa. DIA tahu segala-galanya. Janganlah meminta. Tetapi berdoa yang terbaik. Walaupun kita tidak tahu persekitaran hidup dan dugaan yang akan melanda ketika kita sudah mendirikan rumah tangga. Cinta tidak pernah salah. Yang salah adalah cara kita yang mengendalikan rasa cinta.

Bagi kita yang sedang bercinta ataupun yang menyimpan cinta tanpa diketahui oleh mereka yang kita cinta, hadapilah rasa cinta itu dengan tenang. Walaupun mungkin menyakitkan. Berdoa pada Allah setiap masa, setiap kali hati kita ingin memberontak di sebabkan cinta yang tidak kesampaian. Jikalau kita kuat dan sanggup melepaskan cinta itu demi Illahi, lepaskanlah. Tiada salah dan silapnya jika ianya untuk Allah. Kita tahu pelbagai kekurangan diri kita. Kita tahu kelemahan kita. Kita tahu salah silap kita dengan Allah juga manusia. Jika ingin meletakkan ruang cinta terhadap manusia itu dengan ruang cinta kita terhadap Allah. Biarlah penuhkan ruang cinta itu untuk Allah. Seperti doa ini untuk diri sendiri, "Ya Allah, sekiranya ini yang terbaik buatku, sekiranya ini cara terbaik untuk aku menebuskan kembali dosa-dosaku, tolonglah aku Ya Allah. Lepaskan dia jauh dari hatiku. Jika itu yang mampu menambahkan rasa cintaku terhadap-Mu.."

"..Sedangkan sepatutnya di waktu ini, aku berbakti kepada ibu dan ayah. Menjalankan tanggungjawab sebagai anak dan pelajar. Aku rela lepaskan rasa cinta terhadap hamba-Mu itu walaupun sangat menyakitkan. Dan membuatkan air mataku mengalir setiap kali hati ini dirundum kegelisahan. Namun, itulah yang terbaik. Sebab, aku sayangkan Kau Ya Allah. Berikanlah kehidupan yang terbaik untuk dirinya. Dekatkan dia selalu dengan-Mu. Jangan biarkan dia berputus asa terhadap ujian-Mu. Aku lepaskan dia, demi jodoh yang telah Engkau rahsiakan. Jika dia jodohku, satukanlah hatinya dengan hatiku dengan ikatan yang halal. Aku sayang dia, Aku lepaskan dia di jalan-Mu Ya Allah. Kuatkan aku untuk terus mencintai-Mu Ya Allah. Kuatkanlah aku walaupun aku terpaksa kehilangan mereka yang aku cintai."[Doa Untuk Kita Bersama]

"Jadikan ia peneman setia kita walau kemana jua kita berada.."

Belajarlah Untuk Sabar

Begitulah antara salah satu ujian yang menyedihkan. Namun itulah bukti-bukti hati kita sentiasa terikat dengan Allah. Itulah bait-bait cinta antara kita dengan Allah. Biarkanlah jika hati lebih ingin cintakan Allah daripada manusia. Kerana DIA tahu sesuatu yang terbaik buat kita. Sabarlah untuk Allah. Teruskan jalani kehidupan kita seperti biasa walaupun kita berdepan dengan pelbagai ujian. Sabar. Allah sentiasa melihat kita. DIA tahu rintihan hati kita walaupun lisan tidak berbunyi. Simpanlah kesetiaan kita pada DIA. Insya-Allah kita akan bahagia untuk DIA selama-lamanya. Bila hati rindu titipkanlah doa untuk-NYA. Bila hati sunyi alunkanlah ayat-ayat-NYA. Bila hati sedih, istighfarlah untuk-NYA. Bila hati gembira ucapkanlah syukur pada-NYA. Bila hati suram, suluhkanlah dengan cahaya zikir terhadap-NYA. Bila hati inginkan kasih sayang, penuhkanlah ibadah terhadap-NYA. Jangan biarkan hati sunyi dengan sesuatu yang sia-sia. Kelak nanti akan gelap dan sukar untuk mendapatkan cahaya kembali. 

"Gembiralah untuk Allah selagi hayat dikandung badan. 
Untuk Allah, tiada kerugian dalam hidup kita.."

Kita Daie Kitalah Pencinta Illahi!!
Jangan Berputus Asa!!
Teruskan Usaha Dakwah Kita!!
Cinta Allah, Cintai Rasulullah!!

Keluarga Adalah Segalanya.. Allah Juga Segalanya..(^_^)
Salam Ukhwah Fillah Daripada Saya
Maaf Atas Salah Silap Sepanjang Perkenalan
Halalkan Makan Minum Saya
Jika Ada Hutang Bolehlah Tuntut
Saya Hanya Manusia Biasa Dan Takkan Pernah Sempurna
Maafkan Saya, Jika Inginkan Yang Sempurna, Carilah Allah
DIA Sangat Sempurna Untuk Kita Semua

Terima Kasih Kerana Membaca Coretan Serta Nukilan Dari Saya
Maaf Sekiranya Terlalu Banyak Kekurangan
"Biasakan Yang Betul, Betulkan yang Biasa"
(P.U. Lokman)

_Nukilan Daieyah_
~*Gadis Bunga Cengkih*~
(PID13155)

"Allah, Aku Cintakan Kau. Kuatkanlah Aku Untuk Kau."